21 April 2022 – Khamis, Program Jom Baca Bersama 10 minit telah diadakan di peringkat sekolah pada jam 11.10 minit pagi sehingga jam 11.20 minit pagi. Program ini merupakan satu daripada kegiatan utama gerakan Dekad Membaca Kebangsaan 2020 – 2030 dengan slogan #MalaysiaMembaca.
Program ini menyasarkan seluruh rakyat Malaysia yang mana program ini dijalankan secara serentak di seluruh negara. Program Jom Baca Bersama untuk 10 minit ini diadakan setiap tahun sempena sambutan Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dalam tempoh antara jam 11.10 pagi hingga 11.20 pagi, semua individu, pejabat, persatuan dan komuniti digalakkan untuk berhenti sebentar daripada melakukan apa-apa juga pekerjaan atau aktiviti untuk membaca apa – apa juga bahan bacaan selama 10 minit.
Program ini juga menyokong pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020. Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai Kota Buku Dunia 2020 dengan slogan ‘ KL Baca – Caring Through Reading’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa – Bangsa Bersatu (UNESCO).
Berdasarkan laporan World’s Most Literate Nation yang dikeluarkan oleh Central Connecticut State University, America Syarikat, Malaysia berada pada kedudukan ke-53 dalam senarai negara membaca. Usaha ini seharusnya di angkat sebagai agenda penting dalam pembangunan negara dan perlu dijadikan fokus utama dalam usaha mentransformasikan pemikiran rakyat supaya cinta akan buku agar dapat melahirkan masyarakat yang berbudaya membaca dan berilmu
Recent Comments